Ketika kita sedih, mereka adalah salah satu orang pertama yang akan memujuk kita selain dari ibu. Satu-satunya lelaki yang akan mengalirkan airmata jika kita disakiti. Satu-satunya lelaki yang akan melindungi kita sehingga hujung nyawanya.
Saya memanggil beliau dengan panggilan Abah. Abahlah lelaki pertama yang bertahta di dalam hati. Walaupun abah tidak pernah tahu apa yang tersirat di dalam hati ini, beliau tetap menyangi diri ini tanpa melihat siapa saya.
Abah adalah lelaki pertama yang saya belajar untuk cintai dan sayangi bermula dari pertama kali saya melihat dunia. Setiap orang ada cinta mereka yang pertama. Dan lelaki pertama yang saya cintai dan sayangi adalah abah.
Abah seorang lelaki yang sangat tenang, positive dan sabar. Mak sangat beruntung dapat seorang suami seperti abah. Sentiasa ingin melihat keluarganya bahagia. Walaupun dirinya sendiri susah, berpanas berkerja di bawah teriknya mentari.
Wajahnya sentiasa tersenyum walaupun hatinya terkadang sedih dan gundah gulana. Itu semua tidak sering ditunjukkan.Beliau tidak ingin bergantung kepada orang lain.
Prinsip hidupnya biar susah tapi jangan berhutang. Biar orang buat kita tapi jangan kita buat orang. Allah ada untuk tolong kita. Biar pendapatan tidak lumayan tetapi hati tenang.
Begitulah beliau walau apa pun dugaan yang terbentang di hadapannya, beliau sangat tenang menghadapinya.
Tidak saya nafikan terdakadang saya menyakiti hati abah ketika saya terlanjur kata padanya.
Terkadang saya merajuk berhari-hari. Tapi abah tetap datang memujuk saya. Bertanyakan apakah saya sudah makan. Macam mana keadaan kerja. Dimana saya akan hanya menjawab sepatah, "oklah". Tetapi beliau tetap memberikan saya kata-kata perangsang. Walau apa pun kerja kita, yang penting hati kita tenang.
Bila difikirkan memang betul kata abah. Apa pun pekerjaan, bergaji kecil atau besar tidak menjadi soal yang penting hati kita tenang. Kerana dengan hati tenang kita dapat berfikir secara rasional dan memandang keadaan dengan lebih tenang.
Rasanya tidak ada seorang pun lelaki dalam dunia ini setanding cinta dan kasih sayang abah terhadap saya.
Cinta abah adalah sebuah cinta yang suci dan murni tanpa melihat nilai diri saya. Susah senang saya, abah sentiasa di sisi.
Semoga Allah sentiasa melindungi abah dan memberinya syurga tanpa hisab. Ameen ya Rab....