Kesihatan yang dianugerahkan adalah lebih berharga dari harta sedunia. Satu lagi anugerah yang manusia mudah lupa dan merasa dirinya lebih hebat dari yang lain dan memandang rendah kepada insan lain.
Kita semua hanyalah insan yang menumpang di bumi Allah.
Posisi manusia hanyalah ciptaan bukan pencipta. Dan kalau sudah dinamakan ciptaan itu, tentunya suatu hari akan lenyap ditelan zaman.
Manusia diganti oleh Allah setiap detik. Bila tiba masanya, akan 'dijemput' hamba-hambanya untuk kembali kepada tempat asal dimana datangnya roh kita semua....Allah.
Selagi kita diberi ikhsan oleh Allah untuk masih hidup sihat dan bernafas tanpa masalah, janganlah kita lupa dan alpa.
Kehidupan hanyalah perjalanan bukan destinasi. Destinasi kita adalah di alam akhirat. Di mana roh kita akan berada di syurga bersama orang-orang yang soleh dan solehah. Inshallah. Amin.
Tetapi sebelum perjalanan alam barzakh, kita haruslah menempuh alam dunia yang penuh dengan dugaan.
Hari ini, aku dapat melihat betapa susahnya jika saluran pernafasan kita disekat hanya separuh sahaja. Sesiapa pun akan mula memikirkan tentang mati pada saat-saat seperti itu.
Memang sedih bila difikirkan. Kematian bukanlah sesuatu yang seronok untuk sesiapa pun. Kita akan kehilangan orang yang kita sangat sayang.
Begitulah kehidupan. Yang lama akan digantikan dengan yang baru. Setiap saat ada sahaja manusia yang meninggal dan setiap saat ada saja bayi yang dilahirkan untuk menyambung generasi akan datang.
Sangat sakit dan terluka hati bila melihat orang yang kita sayang seperti nyawa-nyawa ikan. Susah untuk meneruskan pernafasan yang seterusnya.
Pada saat nafas di hujung nyawa, di kala itu tiada sesiapa yang dapat menolong. Hanya antara manusia yang berjuang untuk mengambil nafas yang seterusnya untuk menyambung hidup dengan Sang Pencipta.
Di saat itu, hanya ikhsan Allah sahaja dapat kita teruskan pernafasan yang seterusnya. Tidak kira betapa banyak pertolongan oxygen yang diberikan kepada kita, jika Allah panggil kita kembali kepadaNya, tiada siapa yang dapat menghalang. Izrail hanya menjalankan tugasnya untuk menjemput para penduduk bumi untuk mengadap illahi.
Semoga amalan kita telah hampir sempurna sebelum Izrail datang menjemput. Kedatangannya tidak akan ditunda walaupun sesaat. Begitulah taatnya Izrail dengan perintah Allah.
Semoga bila Izrail dihantarkan untuk menjemput kita kembali, kita dijemput dengan senyuman dan kata-kata manis. Bukan dengan rentapan roh kita.
Terima kasih Ya Allah atas segalanya.
Semoga cinta yang aku lafazkan kepadaMu dapat aku tunjukkan melalui ketaatanku terhadap perintah-perintahMu.