Kita sering menyatakan yang kita rindu dan sayangkan Muhammad s.a.w. Akan tetapi apakah erti sebenarnya kekata rindu, sayang, cinta itu terhadap baginda?
Apakah ianya hanya berakhir di hujung kekata ataukah ianya bermula dari rasa yang tulus ikhlas dari hati sanubari kita dan seterusnya diluahkan dengan jalan hidup kita seperti mana dikehendaki Allah s.w.t dan diajarkan oleh Nabi?
Mari kita berbalik kepada perasaan cinta dan rindu. Jika kita benar-benar merindui dan mencintai seseorang insan, kita sanggup buat apa sahaja untuk menyenangkan hatinya. Segala keinginannya dituruti. Terutama sekali bagi pasangan yang baru dilanda asmara.
Seseorang yang baru menjejakkan kaki ke alam cinta, mereka sering cuba sedaya upaya untuk mempelajari dan memahami apa yang disukai dan dibenci oleh insan tersayang. Siang malam terbayang-bayang. Ada yang tersenyum sendirian tanpa sebab. Alam maya terasa tenang dan indah.
Subhanallah begitu hebatnya penangan asmara yang dianugerahkan kepada kita oleh Allah s.w.t.
Bolehkah kita merasakan yang sama ataupun lebih dari itu terhadap Allah s.w.t dan Muhammad s.a.w?
Sejujurkan saya nyatakan saya pernah sampai ke tahap itu sampai berderai airmata bila mengenangkan betapa masih jauh perjalanan kita di dunia ini sebelum kita diizinkan untuk bertemu dengan Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.
Tapi kehangatan rindu dan cinta yang membara itu terkadang dipadamkan oleh kenikmatan dunia. Walaupun kita semua tahu ianya hanya berupa sementara. Tetapi ramai yang hanyut di dalamnya.
Semoga hati kita tidak 'mati' dari sentiasa ingin memperbaiki diri ke jalan Illahi.